Wednesday, March 2, 2011

Jalan Masih Panjang


Bila aku tidak gugur dengan badai yang lalu
maka datang kepadaku badai yang lebih ganas daripada itu
dan aku pastinya akan terlutut
namun sumpah setia buat aku tidak kekal melukut

bangkit
walau jasad tercedera tetap kekuatan yang kuungkit
bukan tidak sakit
tetapi melihat sia-sianya tangis yang menitik

bukan ada yang memujuk
bukan ada yang peduli
maka apakah maknanya duduk berteleku menangis sendiri?
sedang masalah bukannya berlalu pergi

Datang badai yang lebih dasyat di kala nanti
dan aku berdiri dengan lukaku yang belum sembuh lagi
hingga jasadku termusnah
hingga itu aku tetap kan berdiri lagi

~Hilal Asyraf~
0759PM
090211
sunyi sepi sendiri
Irbid, Jordan
Puisi Berdiri Lagi

***

Nanti bila sampai waktu
waktu menjemput Bidadari Hatiku
aku akan melupakan semua kesusahan ini
dan menghargai waktu-waktu yang akan kulalui

Waktu itu pastinya gerimis akan berhenti membahasi
kerna Bidadari Hatiku pasti hadir memayungi
menyelamatkanku daripada dunia ini
dan menemaniku ke Syurga Ilahi

Maka adalah tugasanku bersabar di kala ini
teguh mempertingkatkan diri
bertahan dan memperbaiki hati
biar tak tersungkur sebelum Bidadari Hatiku tiba nanti

~Hilal Asyraf~
0819PM
090211
Dalam Bilik
Wujud Irama
Cinta Dalam Hati Sahaja
Puisi Bidadari Hati

***

Cinta itu tidak mudah,
Perlukan pengorbanan,
Perlukan kegagahan,

Cinta itu wujud dalam pelukan tabah,
Perlukan kefahaman,
Perlukan ketoleransian,

Cinta itu senang pecah,
Perlukan penjagaan,
Perlukan perhatian,

Aku bersama cinta itu,
Memang jalannya sentiasa berliku,
Memang yang sentiasa berkorbannya aku,
Tetapi buah kesenangan daripadanya juga untuk diriku.

~Hilal Asyraf~
1208PM
010311
Sunyi
Puisi Cinta Itu.

***

Kala aku sukar,
Kau sentiasa menyuakan bahumu,
Kau satu-satunya yang tidak akan menabahkanku dengan kata,
Kau adalah yang satu-satunya menguatkanku dengan tindakannya,
Sukar mencari sepertimu,
Kerna setakat ini kau seorang sahaja,

Berjauhan kita takdir Tuhan,
Aku berdiri di sini dan kau di sana mencari redha Ar-Rahman,
Aku tahu kau tidak sukar tanpaku,
Tetapi nyata aku kepayahan tanpa kewujudanmu,
Kerna kau satu-satunya bahu yang ada,
Saat tenagaku susut kontang kekuatannya.

Bila bersendiri,
Aku rindu saat kita bersua,
Saat kau mendengar luahan rasaku penuh perhatian,
Tika kau mengerutkan dahimu tanda berkongsi keperitan,
Masa kau mengetap bibirmu turut kegeraman,
Bila kau berkata “Enta nak ana bantu apa? Ana usahakan.”
Kadangkala hingga tertitis air mata ini,
Kerna manusia sepertimu tidak dapat kujumpa lagi

Hatta berjauhan,
Kau masih memberikan bahumu,
Di atas talian, kita berhubung, kau tetap berusaha menguatkanku,
Setiap saat kau usaha memberikan tenaga,
Setiap waktu kau cuba mengisi jiwa,

Nyata bahumu kurindu,
Untuk kuluah segala-gala,
Kerna kau sahaja,
Yang tidak aku segan melemahkan diri selain Dia.

~Hilal Asyraf
1100PM
010311
Dalam bilik,
Irbid, Jordan.
El Moro,
Puisi Bahumu Yang Kurindu.

#Copied from http://www.facebook.com/album.php?fbid=196611093697683&id=114102051948588&aid=58092

No comments:

Post a Comment