Monday, July 25, 2011

Saya nak lelaki soleh :)


Rata-rata akhawat bila diajukan soalan mengenai jodoh, mereka mahukan suami yang soleh yang boleh membimbing mereka di dunia dan di akhirat. Tetapi, apakah suami yang diidamkan itu, akan benar-benar memenuhi keperluan mereka?
Jika dimakbulkan Allah, mereka pasti mendapat "lelaki soleh" sebagai suami pilihan mereka. Akan tetapi lelaki yang soleh amat takut kepada Allah. Salah satu bukti ketakutannya kepada Allah ialah dalam hal mengerjakan solat. Jadi lelaki yang soleh akan menyuruh, dan sentiasa menyuruh, malah memaksa isterinya solat. Tetapi ada pula isteri yang liat untuk solat, sedangkan sebelum kahwin dia mahukan suami yang soleh.
Sedang si isteri sedap tidur di waktu malam, si suami kejutkan dan menyuruh solat tahajud."Apalah suamiku ini?" rungut si isteri. Dulu si gadis juga yang mahukan lelaki soleh, tetapi selepas dapat lelaki soleh yang kejutkan si isteri untuk solat tahajud, dia marah-marah pula.
Lelaki yang soleh amat taat kepada Allah. Islam mewajibkan wanita menutup aurat. Jadi suami yang soleh tidak akan benarkan isterinya keluar rumah atau mengenakan pakaian sesuka hati. Atau berhias dan bermekap tebal (tabarruj). Suami yang soleh akan memastikan si isteri tutup aurat. Tetapi ada isteri kurang senang dengan perkara begini. Bukankah dulu, anda berdoa untuk mendapat suami yang soleh, tetapi bila dimakbulkan anda bantah pula cakapnya!
Suami yang soleh tidak akan duduk di rumah sahaja, 'berada di bawah ketiak isteri sepanjang hari'. Ini kerana jihad fisabilillah adalah antara program lelaki soleh. Dia akan sentiasa keluar untuk berjuang. Begitu juga dengan mencari rezeki yang halal, sehingga kadang-kadang balik lewat malam. Ini lagi tak disukai kebanyakan wanita. Jika dulu anda dambakan suami soleh, bila dah dapat, cara hidupnya pula yang tak anda sukai.
Lelaki yang soleh juga akan menjadikan masjid sebagai 'rumah keduanya'. Ini pun ada wanita tak suka. “Asyik-asyik ke masjid aje”, rungut mereka. Lelaki yang soleh amat taat kepada kedua ibubapanya. Malah, baktinya kepada ibubapanya melebihi kepada isteri. Ini menyebabkan sesetengah isteri amat cemburu. Dulu anda mahukan lelaki yang soleh (amat taat kepada ibunya), bila dah dapat, anda marah pula!
Lelaki yang soleh juga tidak hidup bermewah-mewah. Wangnya yang banyak dihabiskan dalam perjuangan. Dia pun takut terima rasuah dan segala macam duit haram. Jadi dia tak dapatlah beri barang-barang mewah seperti rumah besar, kereta besar dan rantai berjela kepada isteri dan keluarganya. Dalam perkara ini pun ada isteri yang tak gemar. Jika dulu doa mahukan suami soleh, tetapi sekarang tidak suka pula sikapnya.
Lelaki yang soleh mahu menjauhkan diri daripada maksiat. Dia buat yang halal sahaja. Salah satu perkara yang halal ialah kahwin empat. Ini memang mana-mana perempuan pantang, malah membenci suaminya kahwin lagi. Bukankah dulu anda mahukan lelaki yang soleh?
Demikian banyaknya perkara yang tidak disukai oleh isteri, walaupun rintih doanya dulu mahu mendapatkan suami yang soleh. Berdasarkan kriteria yang dibincangkan di atas, jelaslah ktiteria suami yang soleh tidak dapat memberikan sebahagian besar daripada kehendak duniawi si isteri. Si isteri tak perlulah mengeluh, sebaliknya bersyukur kerana doa untuk mendapatkan suami yang soleh, mungkin telah dimakbulkan Allah. Ingatlah, isteri-isteri Rasulullah s.a.w. sendiri pernah ditawarkan pilihan dunia (kesenangan) atau akhirat dan mereka memilih akhirat.
يأيها النبي قل لأزواجك إن كنتنّ تردن الحيوة الدنيا وزينتها فتعالين أمتعكنّ وأسرحكنّ سراحاً جميلاً O   
وإن كنتنّ تردن الله ورسوله والدّارالأخرة فإن الله أعدّ للمحسنت منكنّ أجرا عظيما O       الأحزاب : 29- 28
Maka bila hajat mu dikabulkan tuhan, bersyukurlah dengan cara mentaatinya dan menghargai setiap yang diberikannya. 
Begitu juga sebaliknya, bagi bakal suami yg mengharapkan isteri yang solehah.
source:http://bkasm.org/index.php?option=com_content&task=view&id=837&Itemid=411
 

No comments:

Post a Comment